ACLE: JDT Kempunan Naik Tinggi Angkara Shanghai Port
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kedudukan terkini JDT dalam carta AFC Champions League Elite (ACLE) hanya mempamerkan lonjakan minimum setelah seri bersama Shanghai Port di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

Saingan ACLE minggu ke-6 menemukan JDT dan Shanghai Port dengan misi kedua-dua pasukan untuk bangkit meraih kemenangan selepas tunduk dalam perlawanan sebelum ini.

Kelebihan tampak memihak JDT apabila beraksi di hadapan lebih 15,000 penyokong sendiri namun ketumpulan barisan serangan Harimau Selatan menyaksikan aksi berakhir tanpa jaringan.

Keputusan seri 0-0 ini masih melonjakkan JDT ke tempat ke-6 dengan 8 mata, naik satu anak tangga berbanding sebelum ini selepas mengharungi 6 perlawanan mencabar di ACLE ini.

Walau bagaimanapun, jika JDT meraih kemenangan ke atas Shanghai Port ini, skuad Harimau Selatan mampu melonjak ke kedudukan ke-3 dengan mengutip 10 mata buat seketika.

Aksi ACLE seterusnya bakal berlangsung pada Januari 2026 dengan JDT akan terbang ke Jepun untuk hadapi Sanfrecce Hiroshima sementara Shanghai Port dijadualkan menentang Gangwon.