Bintang muda skuad Malaysia B-23, Haykal Danish tampil penuh keyakinan menjelang aksi penting menentang Vietnam dalam perlawanan kedua Kumpulan B bola sepak Sukan SEA 2025.
Selepas membuka kempen dengan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Laos, Haykal mahu rentak positif itu diteruskan pada aksi 11 Disember nanti. Lebih manis, pertemuan ini menjadi medan terbaik untuk Malaysia menebus kekecewaan tewas kepada Vietnam pada Piala Asia B-23 tahun lalu.
“Kami sasar untuk perlawanan seterusnya untuk menang sahaja. Kalau seri pun kami layak (ke separuh akhir). Kami sasar menang untuk tebus maruah.
“Vietnam mempunyai fizikal yang kuat dan corak permainan yang laju jadi kita sebagai pemain yang kurang dari sudut fizikal, kita perlu cepat gerakkan bola,” jelas Haykal kepada pihak media.
Haykal yang kini beraksi bersama Selangor FC II menjelaskan bahawa beliau dan rakan sepasukan semakin serasi, dengan tahap persefahaman yang jauh lebih baik berbanding perlawanan-perlawanan sebelum ini. Katanya juga, skuad kali ini juga tampil lebih bersedia di kejohanan ini.
Malaysia perlu sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri untuk melayakkan diri ke pusingan separuh akhir kerana mengikut peraturan kejohanan, tiga juara kumpulan dan naib juara terbaik kumpulan berdasarkan ranking akan mara ke peringkat separuh akhir.
Walau bagaimanapun, skuad Malaysia bimbingan Nafuzi Zain menerima tamparan hebat apabila terpaksa beraksi tanpa dua tonggak utama. Haqimi Azim terpaksa pulang segera selepas menerima berita pemergian bapa tirinya, manakala Haziq Kutty pula ditimpa kecederaan serius yang menyaksikannya terlepas baki kempen bersama skuad negara.
Dalam aksi pembukaan, Malaysia memulakan kempen dengan kemenangan meyakinkan 4-1 ke atas Laos, manakala Vietnam turut mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan lawan sama dengan keputusan 2-1.