Pengendali Malaysia B-23, Nafuzi Zain mengakui tidak pasti sama ada penyerang KL City FC, Haqimi Azim Rosli akan kembali menyertai pasukan itu atau tidak.
Hal ini dinyatakan beliau selepas Haqimi pulang ke tanah air untuk upacara pengebumian bapa tirinya, Allahyarham Shahrol Asikin Shariff.
Penyerang berusia 22 tahun itu diuji apabila bapa tirinya kembali ke rahmatullah selepas mengalami strok sehari sebelumnya.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Lagong selepas solat Zohor. Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.
Nafuzi mengakui tidak pasti sama ada Haqimi akan kembali menyertai Malaysia B-23 menjelang aksi menentang Vietnam.
“Biar dia (Haqimi) uruskan urusan-urusan di sana. Dan kita lihat mengikut situasi atau keadaan mungkin dia dapat kembali atau sebaliknya.
“Tapi untuk pasukan saya, kita memang perlukan khidmat Haqimi untuk perlawanan menentang Vietnam nanti,” katanya.
Nafuzi turut memaklumkan beliau akan mengadakan perbincangan dengan Haqimi terlebih dahulu bagi menilai situasinya.
“Kalau keadaan semua baik, berkemungkinan besar dia akan kembali. Tapi itu saya akan bercakap dengan dialah.
“Bagi dia masa dulu untuk selesaikan segala urusan dia di sana,” ujarnya.
Selain isu Haqimi, Nafuzi juga terpaksa melupakan khidmat pemain tengah Penang FC, Haziq Kutty Abba. Ini selepas pemain berusia 21 tahun itu terpaksa disisihkan akibat kecederaan.
Bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu menerima berita gembira apabila Aiman Hakimi Othman kembali menyertai latihan selepas pulih daripada demam.
Selain itu, Aliff Izwan Yuslan juga menyertai Malaysia B-23 selepas selesai komitmen aksi Liga Super bersama Selangor FC.