Liverpool meraih kemenangan berharga dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) apabila menewaskan Inter Milan 1-0 di San Siro.
Pengurus The Reds, Arne Slot terus berdepan tekanan susulan prestasi tidak menentu pasukan itu sejak kebelakangan ini. Situasi ini turut mengakibatkan Mo Salah membuat kenyataan pedas terhadap beliau dan kelab.
Susulan itu, Salah digugurkan untuk aksi ini. Penyerang berbisa Argentina, Lautaro Martinez menjadi sandaran gol pengendali Inter, Cristian Chivu.
Separuh masa pertama menyaksikan The Reds cuba merobek gawang tuan rumah menerusi gandingan Hugo Ekitike dan Alexander Isak.
Curtis Jones hampir membuka tirai jaringan buat Liverpool pada minit ke-18. Malangnya, percubaan beliau dinafikan penjaga gol Switzerland, Yann Sommer.
The Reds menyangka mereka berada di hadapan pada minit ke-36 menerusi Ibrahima Konate. Malangnya, gol tersebut dibatalkan selepas VAR mengesan bola terkena tangan Ekitike sebelum gol itu terhasil.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pendahuluan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Liverpool dan Inter terus buntu mencipta jaringan. Slot memilih memasukkan Conor Bradley dan Florian Wirtz sebagai pengganti.
Sommer terus menjadi penghalang kepada pelawat dengan menafikan percubaan deras Ekitike pada minit ke-80.
Tatkala tuan rumah menyangka mereka berjaya mencuri satu mata, Liverpool mendapat sepakan penalti enam minit selepas itu.
Ini selepas VAR mengesan kekasaran ke atas Wirtz dalam kotak penalti oleh Alessandro Bastoni. Dominik Szoboszlai tenang menewaskan Sommer untuk gol kemenangan Liverpool.
Keputusan ini menyaksikan The Reds kembali berada dalam kelompok lapan pasukan teratas UCL dengan 12 mata. Inter pula di tangga kelima tetapi memiliki kelebihan jaringan berbanding tiga pasukan lain termasuk Liverpool.
Sofascore memilih Virgil van Dijk sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.8. Beliau mengatasi bekas bintang Manchester United, Henrikh Mkhitaryan dan Szoboszlai yang meraih 7.2 mata.
Selepas ini, Liverpool akan menentang Brighton pada 13 Disember. Inter pula akan Genoa pada 15 Disember.