Sukan SEA: Kemas Kini Senarai Pemain Malaysia vs Vietnam
MakanBola
FA Malaysia

Senarai pemain Malaysia untuk bertemu Vietnam dalam aksi Sukan SEA mengalami perubahan.

Skuad Malaysia B-23 memulakan saingan di temasya Sukan SEA dengan cemerlang selepas membelasah Laos 4-1 hasil jaringan Haykal Danish, Haqimi Azim, Muhammad Abu Khalil dan Moses Raj.

Kemenangan besar itu dicapai bukan dengan mudah selepas skuad bimbingan Nafuzi Zain ini terpaksa berdepan pelbagai cabaran berliku untuk mengumpulkan kesemua pemain bagi kem latihan.

Pada perlawanan pertama lalu, 3 tonggak terpaksa disisihkan oleh kerana komitmen bersama kelab masing-masing seperti Ubaidullah Shamsul Fazili, Fergus Tierney serta Aliff Izwan Yuslan.

Kini, menjelang aksi bertemu Vietnam, Ubaidullah dan Aliff Izwan sudah kembali melapor diri bersama pasukan muda negara di Bangkok sementara Fergus Tierney masih belum dilepaskan Sabah.

Kehadiran dua pemain penting ini diharap mampu membantu skuad Malaysia B-23 untuk berdepan cabaran getir Vietnam dalam misi penting memburu 3 mata serta layak ke separuh akhir.

Walau bagaimanapun, perjuangan Harimau Muda sekali lagi diuji apabila pemain tengah, Haziq Kutty terpaksa disisihkan akibat kecederaan hamstring yang dialami ketika berdepan Laos.

Penyerang utama negara, Haqimi Azim pula masih berada di Malaysia setelah berangkat pulang apabila menerima khabar duka mengenai pemergian bapa tiri beliau pada Isnin lalu.

Krisis mengumpulkan pemain terbaik dalam pasukan sekali lagi bakal menjadi ujian mencabar buat Nafuzi Zain dengan hanya 20 pemain akan menjadi sandaran untuk menentang Vietnam.

Aksi Vietnam vs Malaysia akan berlangsung pada Khamis, 11 Disember ini di Stadium Rajamangal, Bangkok dengan sepak mula perlawanan dijadualkan bermula jam 5 petang waktu Malaysia.