“Kami Tak Takut Cabaran JDT” – Penjaga Gol Shanghai Port
MakanBola
Shanghai Port FC

Penjaga gol Shanghai Port, Chen Wei menyifatkan pasukan itu tidak gentar dengan lawan mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perkara itu digariskan penjaga gol berusia 27 tahun itu selepas aksi ACLE antara kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

‘Meskipun dihimpit isu kecederaan dan hanya dapat menurunkan dua tonggak import, juara Chinese Super League (CSL) musim 2025 itu kental mempertahankan gawang mereka.

Malah, Chen Wei menafikan 11 percubaan daripada 48 percubaan yang dibuat JDT terhadap kubu Shanghai Port. Pada akhirnya, kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga wisel penamat.

Atas sebab itu, Chen Wei melihat ini sebagai manifestasi semangat Shanghai Port meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk Harimau Selatan.

“Kami tidak takut. Kami benar-benar menikmati proses perlawanan ini,” katanya seperti dilaporkan AFC.

“Saya percaya kita telah tunjukkan semua orang bahawa semua pemain kita telah menunjukkan fokus penuh dan semangat juang yang tinggi. Saya fikir ini cara terbaik untuk menutup tahun ini.”

Keputusan ini menyaksikan JDT mendaki ke tangga keenam liga dengan lapan mata. Shanghai pula kekal di tangga tercorot Liga Timur ACLE dan berpotensi berdepan penyingkiran dengan baki dua aksi.