Azlan Mubin: Thailand Takut Dengan Malaysia
UltraSukan
Team Malaysia

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Mubin melihat Malaysia masih menjadi ancaman besar buat para pemain Thailand.

Perseteruan antara Thailand dan Malaysia sudah menjadi tradisi dalam dunia sepak takraw dengan kedua-dua negara ini dianggap sebagai dua kuasa besar dalam arena tersebut.

Malah, pertembungan antara kedua-dua pasukan ini sering menjadi tumpuan kerana kualiti permainan dan persaingan sengit yang dipamerkan pemain Thailand serta Malaysia di atas gelanggang.

Fokus para peminat sepak takraw kini tertumpu kepada final acara regu berpasukan Sukan SEA 2025 yang menemukan Thailand dan Malaysia dalam perebutan pingat emas pada Ahad.

Menurut Azlan Mubin yang juga merupakan bekas perejam kebangsaan, Thailand sering kali hadir dengan bermacam-macam helah demi memastikan kemenangan menjadi milik mereka.

Oleh itu, beliau mahu para pemain sepak takraw Malaysia bersiap-sedia dengan persediaan melibatkan mental dan psikologi supaya fokus tidak terganggu apabila berdepan Thailand.

”Kebiasaannya Thailand ini, satu perkara sahaja, pemain-pemain mereka akan buat bermati-matian, pelbagai helah untuk pastikan dapat pingat emas di laman sendiri.”

“Persediaan dari segi psikologilah yang saya rasa (penting buat Malaysia),” ulas Azlan Mubin ketika di segmen Astro Arena.

Azlan Mubin melihat kelebihan tetap seimbang antara kedua-dua negara, namun di sebalik realiti itu, beliau mendedahkan bahawa pemain Thailand masih berasa gerun andai bertemu skuad negara.

Menurutnya, kehadiran para pemain berpengalaman seperti Syahir Rosdi dan Haziq Hairul Nizam masih memberi tekanan psikologi kepada Thailand serta mencerminkan rasa hormat terhadap kekuatan Malaysia

”(Kelebihan) sekarang ini sama rata. Thailand memang realiti serta hakitkatnya takut dengan Malaysia yang adanya Syahir (Rosdi), mereka tetap takut dengan Haziq (Hairul Nizam),”

”Ini saya ada sembang sikit dengan bekas pemain takraw di sana, (mereka) takut lagi dengan Sobey (Zulkifli Razak) cuma sekarang macam mana kita nak deliver dari segi mentaliti.”

Malaysia dan Thailand akan berentap di pentas final Sukan SEA 2025 bagi acara regu berpasukan pada Ahad dengan perlawanan dijangka bakal bermula pada jam 12 tengahari.