Nasihat Kewangan Tunku Ismail Bersifat Universal
MakanBola
Johor Southern Tigers

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menasihati para pemain terutama pemain muda agar bijak menguruskan kewangan mereka.

Ini kerana pada hemat baginda, pengurusan kewangan yang baik mampu membantu para pemain dalam merancang masa hadapan mereka.

Nasihat tersebut disampaikan Tunku Ismail semasa sesi soal jawab bersama penyokong yang diadakan di Vamos Coffee Roastery pada 10 Disember lalu.

Ini berdasarkan anekdot yang dikongsikan baginda selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Piala FA edisi 2023.

“Ada sekali itu, saya beri bonus besar (kepada pemain JDT) selepas menang Piala FA. Jadi, selepas habis itu, saya jumpa semua pemain dan beri bonus besar,” katanya.

“Semua tengah duduk bersantai dan saya pun bagi nasihat. Duit bila dapat, masuk bank. Menabung, jangan belanja. Kau ini masih muda, kena fikir masa depan. Lama saya bercakap ini, dekat 10 minit.

“Jangan percaya orang, kalau orang suruh letak duit dekat saham, (kena) sabar dulu dan jangan gopoh. Bila kita tidak ada duit, kita tak ada kawan. Bila kita ada duit, semua orang nak jadi kawan kita.”

Tunku Ismail memaklumkan baginda mengingati kisah ini kerana seorang pemain JDT menggunakan bonus kemenangan itu untuk membeli sebuah kereta mewah.

Meskipun tidak menyatakan nama pemain tersebut, baginda menyatakan pemain itu ialah pemain muda dan kini beraksi untuk Kuching City FC.

“Ada seorang pemain saya ini yang sekarang bermain di Kuching. Besoknya, dia pergi beli Mercedes,” ujarnya.

“Saya nasihatkan kamu dekat 15 minit untuk jaga duit, dia pergi beli Mercedes.”

Sesi sama turut menyaksikan Tunku Ismail berkongsi pelbagai perkara. Antaranya, perancangan JDT untuk tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dan keinginan Cristiano Ronaldo beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).