Haqimi Azim Terlepas Aksi Malaysia B-23 vs Vietnam
MakanBola
FA Malaysia

Penyerang Malaysia B-23, Haqimi Azim Rosli sah terlepas aksi terakhir Kumpulan B Sukan SEA 2025 menentang Vietnam.

Perkara ini disahkan pengendali skuad negara, Nafuzi Zain apabila ditanya tentang status terbaru penyerang KL City FC itu.

Nafuzi memaklumkan Haqimi tidak bersama Malaysia B-23 untuk aksi itu kerana ingin memberi ruang kepada beliau menyelesaikan pelbagai urusan di tanah air.

Ini susulan pemergian bapa tirinya, Allahyarham Shahrol Asikin Shariff ke rahmatullah baru-baru ini.

“Untuk Haqimi, saya dapat pastikan Haqimi tidak akan bersama untuk perlawanan esok (hari ini). Kerana banyak benda yang perlu diselesaikan.

“Dan dia pun sampai (di Malaysia) lewat petang semalam. Kalau nak datang kembali itu, agak singkat dan banyak perkara beliau perlu buat.

“Kita tahu kehilangan ayahnya bukan sesuatu yang mudah. Mungkin kesedihan dan keresahan, mungkin keadaan dia kalau nak bermain pun belum bersedia untuk menghadapi situasi ini,” katanya.

Meskpun terlepas aksi menentang skuad muda Pahlawan Bintang Emas, Nafuzi memaklumkan Haqimi akan kembali seandainya Malaysia layak ke separuh akhir.

“Kalau kata kita layak ke separuh akhir, sudah pasti dia akan datang. Dia pun ada fikir pasal itu dan dia pun mohon maaf sebab tak dapat bersama pasukan,” ujarnya.

“Meskipun begitu, dia tetap bersemangat untuk bermain dan berjanji akan datang sekiranya layak ke separuh akhir.”

Selain Haqimi, Nafuzi juga terpaksa melupakan khidmat pemain tengah Penang FC, Haziq Kutty Abba. Ini selepas Haziq mengalami kecederaan dalam aksi menentang Laos.

Walaupun hilang dua tonggak, Malaysia B-23 kembali diperkuatkan dengan kehadiran Ubaidullah Shamsul Fazili dan Aliff Izwan Yuslan. Skuad negara akan menentang Vietnam pada 11 Disember.