Tunku Ismail Harap Senario ‘Unik’ Di SSI Tak Berulang
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berharap apa yang berlaku di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Selasa lepas tidak berulang lagi.

Umum mengetahui JDT telah mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika berdepan Shanghai Port bagi saingan AFC Champions League Elite (ACLE) yang diadakan di SSI.

Namun yang menariknya, meskipun JDT mempamerkan penguasaan penuh dan mencipta deretan peluang keemasan, semuanya gagal diterjemahkan kepada jaringan. Akibatnya, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati sekadar berkongsi satu mata.

Tunku Ismail, dalam satu sesi soal jawab bersama penyokong pada Selasa, menyifatkan situasi itu sebagai sesuatu yang unik dan berharap ia tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.

“Yang pertama sekali, berkenaan perlawanan semalam (Selasa), dalam 12 tahun saya dalam industri bola sepak, saya tak pernah nampak benda seperti itu berlaku.

“Bagi saya, itu adalah benda yang sangat unik dan saya berharap perkara ini tak berlaku lagi,” jelas Tunku Ismail dalam sesi bersama penyokong yang disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Dalam aksi JDT menentang Shanghai Port, JDT melalui statistik telah melancarkan 49 serangan ke pintu gol Shanghai Port. Daripada 49 serangan itu, 10 daripadanya diselamatkan penjaga gol Shanghai Port, Wei Chen.

Dengan keputusan tersebut, JDT kini berada di tangga keenam dengan 8 mata, manakala Shanghai Port kekal di kedudukan tercorot, hanya mengumpul dua mata selepas enam perlawanan.