Seorang pemain import dari Filipina mendakwa pengurusan Melaka FC culas dalam menguruskan permit kerjanya.
Dakwaan itu dibuat pemain tengah Filipina, Justin Baas. Bekas pemain tengah Uthai Thani itu mendakwa pengurusan Melaka gagal menguruskan isu tersebut meskipun banyak kali diingatkan oleh beliau atau peguamnya.
Isu tersebut menyebabkan Baas terpaksa meninggalkan Malaysia dan meninggalkan kelab itu selepas tamat tempoh visa.
“Seperti sesetengah daripada anda mungkin tahu, kelab saya Melaka FC gagal menguruskan permit kerja saya meskipun saya dan peguam saya mengingatkan kelab berkali-kali dan meminta berulang kali supaya ia diperbaiki.
“Malangnya tiada apa yang berubah dan visa saya akhirnya tamat tempoh. Oleh kerana saya tidak mahu menimbulkan masalah dengan tinggal lebih masa secara haram, saya tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan negara serta-merta dan menamatkan kontrak saya.
“Keputusan ini diambil selepas memaklumkan kelab dan memberikan tarikh akhir yang diperlukan untuk menyelesaikan isu ini,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Baas turut menyatakan penghargaan kepada penyokong Melaka yang mengalu-alukan beliau sepanjang berada di Malaysia.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang telah menyambut saya sebaik sahaja saya tiba di Melaka, sokongan anda amat bermakna bagi saya.
“Saya minta maaf kerana masa kita singkat dan kita tidak dapat meraikannya bersama di rumah kita, Hang Jebat seperti dahulu,” ujarnya.
Baas kini berstatus ejen bebas. Beliau menunggu tetingkap perpindahan Januari dibuka untuk menilai tawaran kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya.
Selain Melaka dan Uthai Thani, beliau juga pernah beraksi untuk United City, Ratchaburi dan skuad remaja AZ Alkmaar. Baas sempat merekodkan tiga penampilan bersama Melaka sebelum meninggalkan kelab itu.