Sukan SEA: Vietnam Ranapkan Impian Besar Malaysia
MakanBola
FA MALAYSIA

Malaysia tunduk 2-0 kepada Vietnam dalam aksi terakhir peringkat kumpulan temasya sukan SEA 2025 di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand pada Khamis.

Malaysia menurunkan Zulhilmi Sharani di benteng terakhir dan Ubaidullah Shamsul di bahagian pertahanan manakala Abdul Rahman Daud mengetuai jentera serangan.

Sementara itu, Vietnam membariskan Tran Trung Kien di bahagian penjaga gol dan Khuat Van Khang mengetuai kesebelasan utama bagi aksi ini.

Vietnam bermula garang dengan melancarkan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang pasukan Malaysia menerusi bintang negara tersebut, Nguyen Dinh Bac dan Nguyen Thai Quoc.

Pasukan julukan Pahlawan Bintang Emas berjaya membuka akaun jaringan seawal minit ke-10 menerusi tandukan pemain pertahanan Vietnam, Nguyen Hieu Minh sekaligus memberikan kelebihan satu gol di hadapan.

Vietnam terus menerus mengasak kubu pasukan Malaysia bagi mencari gol tambahan dalam tempoh 10 minit.

Pahlawan Bintang Emas sekali lagi meledak gol kedua aksi hasil gerakan lincah Nguyen Dinh Bac dan disempurnakan oleh pemain bernombor 21, Pham Minh Phuc.

Vietnam tampak menguasai perlawanan ini dengan lambakan percubaan berbahaya ke arah gawang pasukan Malaysia.

Malaysia turut melepaskan beberapa percubaan ke arah kubu Vietnam menerusi bintang muda Selangor, Aliff Izwan namun gagal menepati sasaran.

Memasuki minit ke-35 kedudukan masih didahului oleh pasukan Vietnam dengan dua gol.

Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan kebangsaan Vietnam.

Bersambung babak kedua aksi, Malaysia melakukan dua pertukaran pemain dengan memasukkan Haykal Danish dan Aysar Hadi manakala mengeluarkan Muhammad Abu Khalil & Aiman Yusuf.

Malaysia dilihat lebih berdisiplin pada awal babak kedua apabila berjaya menyekat beberapa kali serangan pihak lawan menerusi Nguyen Dinh Bac.

Vietnam dilihat mengendurkan tempo permainan dalam beberapa minit bagi memastikan gawang pasukan Pahlawan Bintang Emas tidak dibolosi.

Percubaan Rohisham Haiqal dalam kawasan kotak penalti Vietnam berjaya disekat oleh pertahanan lawan pada minit ke-65.

Memasuki minit ke-75 kedudukan masih didahului oleh pasukan Vietnam dengan dua jaringan.

Malaysia dilihat sukar untuk menembusi benteng pertahanan pasukan Vietnam yang dikawal ketat oleh Nguyen Hieu Minh dan Pham Ly Duc.

Harimau Muda berjaya mendapat sepakan penjuru pada minit-minit akhir aksi namun percubaan tersebut berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol berprolifik Vietnam, Tran Trung Kuen.

Aksi di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand pada Khamis tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan Vietnam.