Ketua jurulatih Malaysia B-23, Nafuzi Zain, memohon maaf atas kekalahan 2-0 kepada Vietnam dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Sukan SEA 2025.
Malaysia tunduk 2-0 kepada pasukan Vietnam hasil ledakan berbisa Pham Minh Phuc dan Nguyen Hieu Minh pada babak pertama aksi.
Kekalahan tersebut menyaksikan skuad Malaysia terpaksa menunggu keputusan perlawanan antara Indonesia dan Myanmar bagi menentukan pasukan yang layak ke separuh akhir.
Menurut Nafuzi Zain, beliau memohon maaf berikutan keputusan yang kurang positif dari aksi menentang Vietnam.
“Saya ingin memohon maaf kerana kami tidak berjaya memberikan keputusan yang diharapkan penyokong. Saya juga sangat kecewa.”
Tambah beliau, pemain-pemain Harimau Muda telah berusaha semaksimum mungkin dan Nafuzi Zain berharap penyokong tidak terus kecewa dengan aksi skuad Malaysia.
“Para pemain telah berusaha sebaik mungkin untuk memberikan yang terbaik kepada penyokong. Harapnya walaupun keputusan tidak menyebelahi kami, penyokong tidak terus kecewa. Kami akan cuba bangkit dan memberikan sesuatu kepada mereka pada masa akan datang,” kata Nafuzi Zain ketika sidang media selepas perlawanan menentang Vietnam.
Malaysia perlu mengharapkan perlawanan antara Myanmar dan Indonesia berakhir dengan keputusan seri. Ini sekali gus akan memastikan kemaraan pasukan Harimau Muda B-23 ke pusingan separuh akhir Sukan SEA 2025.