Senarai 16 Pasukan Ke Pusingan Kalah Mati ACL2
MakanBola
ANFC/PB

Selepas tamat aksi peringkat kumpulan, 16 pasukan layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Lapan pasukan yang layak dari sebelah barat ialah Al-Wasl, Esteghlal, Al-Ahli, Arkadag, Sepahan, Al-Hussein, Al-Nassr dan Al-Zawraa.

Lapan pasukan yang layak dari sebelah timur pula ialah Macarthur FC, Cong An Ha Noi FC (CAHN FC), Gamba Osaka, Ratchaburi, Persib Bandung, Bangkok United, Tampines Rovers dan Pohang Steelers.

Persib layak ke pusingan seterusnya selaku juara Kumpulan G dengan menewaskan Bangkok United. Kejayaan itu juga memastikan mereka dapat menyingkirkan finalis musim lalu, Lion City Sailors (LCS).

LCS terpaksa berputih mata meskipun meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Selangor FC dalam aksi terakhir kumpulan.

CAHN dan Ratchaburi masing-masing layak selaku naib juara Kumpulan E dan F meskipun tewas dalam aksi terakhir mereka.

CAHN terpaksa berpuas hati selaku naib juara kumpulan apabila tewas kepada Tai Po 1-0. Kelebihan gol hasil rekod lalu pula membantu Ratchaburi layak mengatasi juara V. League musim 2024/25, Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh).

Nam Dinh perlu memiliki kelebihan 11 gol jika ingin mengiringi Gamba ke pusingan seterusnya. Misi tersebut gagal meskipun membelasah Eastern SC 9-0.

Undian pusingan kalah mati ACL2 bakal diadakan pada 30 Disember ini bagi menentukan lawan di peringkat tersebut. Ia akan diadakan lima hari selepas aksi terakhir kumpulan di sebelah barat.