Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Ager Aketxe kembali menyertai sesi latihan skuad Harimau Selatan.
Kelibat Ager Aketxe tak kelihatan sebelum ini setelah pemain tengah tersebut dilaporkan mengalami kecederaan sehingga memaksa beliau disisihkan dalam beberapa aksi penting.
Ketiadaan Aketxe jelas dirasai oleh kem JDT apabila kreativiti serta aliran permainan di tengah tidak cukup untuk membuka ruang buat barisan penyerang bagi menghasilkan jaringan.
Ini dapat dibuktikan melalui statistik yang menyaksikan JDT hanya berjaya mencetak 4 gol dalam 4 perlawanan terakhir dengan 3 jaringan itu hadir menerusi pemain pertahanan.
Menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Sabah ini, JDT mendapat khabar gembira apabila kelibat Ager Aketxe sudah kembali menyertai sesi latihan pasukan pada Khamis.
Bekas pemain kebangsaan Sepanyol B-20 tersebut kelihatan dalam hantaran foto sesi latihan yang dimuat naik oleh laman Johor Southern Tigers bersama rakan sepasukan yang lain.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan adakah Aketxe mengikuti pasukan ke Kuala Lumpur sebagai persiapan bagi menghadapi Sabah dalam aksi final Piala FA pada Ahad ini.
Untuk rekod, Aketxe menjaringkan satu gol serta melakukan dua bantuan jaringan dalam 13 penampilan buat JDT musim ini sejak tiba pada September lalu dari kelab Sepanyol, Real Zaragoza.