‘Tunku Ismail Nak Kamu’ Hariss Harun Dedah Kisah Kali Pertama Ketuai JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bek tengah Singapura, Hariss Harun berkongsi cerita tentang pengalaman dilantik sebagai kapten Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bek tengah berusia 35 tahun itu memaklumkan perkara tersebut berlaku pada tahun 2019. Pada ketika itu, terdapat ramai pemain berpengalaman dalam skuad berkenaan.

Antaranya Aidil Zafuan Abdul Radzak, Natxo Insa, Safiq Rahim dan Safee Sali. Malah, musim 2019 menyaksikan pada awalnya, Safiq diberi amanah sebagai kapten Harimau Selatan.

Semuanya berubah dalam satu aksi Liga Super apabila kitman meletakkan lilitan kapten di tempat beliau dalam bilik persalinan.

“Saya masuk dalam bilik persalinan, saya nampak lilitan kapten itu di tempat saya. Saya ingat ini satu kesilapan sebab Safiq, Aidil dan Safee Sali ada. Jadi, saya fikir tak mungkinlah,” katanya semasa menjadi tetamu program audio siar Sportswire.

“Saya pun kembalikan lilitan kapten dekat tempat Safiq dan mula bersiap. Bila saya balik semula (ke bilik persalinan), lilitan kapten itu sudah ada lagi.

“Saya nak cuba pulangkan tapi kitman nampak apa saya buat. Dia beritahu, ‘Arahan dari bos (DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor). Anda kapten hari ini.'”

Setelah mengetahui apa yang berlaku, Hariss akur dan memikul tugas sebagai kapten untuk aksi berkenaan. Beliau turut mendedahkan semua pemain JDT menyokongnya sebagai kapten.

“Saya sedikit terkejut dengan semua ini. Pada ketika itu, saya kapten skuad kebangsaan (Singapura) tapi saya fikir orang lain lebih sesuai disebabkan latar belakang dan kaitan mereka dengan Johor.

“Saya bercakap dengan Aidil selepas perlawanan. Beliau berkata, ‘Kamu satu-satunya orang yang boleh mengetuai pasukan ini.’

“Kata-kata (Aidil) itu menyuntik sedikit keyakinan dalam diri saya kerana saya dapat sokongan semua rakan sepasukan,” ujarnya.

Ini diperkukuhkan lagi menerusi kenyataan Tunku Ismail apabila Hariss bertemu dengan baginda beberapa hari selepas perlawanan itu.

“Selepas beberapa hari, saya ada pertemuan dengan TMJ. Baginda kata, ‘Saya nak kamu ketuai pasukan ini sekarang.’

“Saya cakap, ‘Sudah tentu bos. Saya tak perlukan lilitan kapten untuk jalankan peranan saya. Tapi jika Tuanku mahu saya ketuai pasukan, saya sukacita melakukannya.’ Dan ia satu detik membanggakan buat saya,” tambahnya.

Musim tersebut menyaksikan Hariss membantu JDT bergelar juara liga, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Ini menjadi sebahagian daripada 10 trofi yang dimenangi beliau bersama JDT. Hariss turut membantu pasukan itu muncul juara Piala AFC pada tahun 2015.