Sukan SEA: Malaysia B-23 Ke Separuh Akhir, Indonesia ‘Bungkus’ Awal
MakanBola
FA Malaysia

Malaysia mengesahkan tempat ke separuh akhir acara bola sepak lelaki setelah tamat aksi antara Indonesia vs Myanmar.

Nasib Malaysia B-23 bergantung kepada perlawanan antara Indonesia vs Myanmar selepas anak didik Nafuzi Zain tewas dalam aksi terakhir kumpulan B di tangan Vietnam 2-0 pada Khamis.

Kekalahan tersebut membuatkan skuad muda kebangsaan terpaksa menanti keputusan aksi lain oleh kerana Myanmar dan Indonesia miliki peluang bagi mencabar tiket naib juara terbaik.

Pasukan muda negara terpaksa mengharapkan kedua-dua negara ini untuk seri atau pun menang dengan defisit tidak melebihi 3 jaringan untuk Malaysia B-23 layak ke separuh akhir.

Perlawanan antara Indonesia dan Myanmar berakhir dengan kemenangan 3-1 memihak Sang Garuda Muda namun itu tak cukup untuk membawa mereka melepasi peringkat kumpulan C.

Malaysia B-23 bakal mengiringi 3 lagi pasukan yang sudah mengesahkan tempat di separuh akhir iaitu Thailand (juara kumpulan A), Vietnam (juara kumpulan B) dan Filipina (juara kumpulan C).

Perlawanan separuh akhir akan berlangsung pada Isnin, 15 Disember ini dengan Malaysia akan menentang tuan rumah, Thailand di Stadium Rajamangala jam 8 malam.