Tiket final Sukan SEA 2025 bakal menjadi rebutan skuad Malaysia B-23 dan tuan rumah, Thailand.
Ini selepas Malaysia mara ke peringkat separuh akhir selaku naib juara kumpulan terbaik. Ini dicapai apabila Indonesia gagal memintas skuad negara meskipun menewaskan Myanmar 3-1.
Ini disebabkan Garuda Muda memerlukan sekurang-kurangnya empat gol jika mahu memintas Malaysia B-23.
Hasrat itu tidak berlaku dengan Indonesia gagal mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak edisi 2009 di Vientiane, Laos.
Ini membolehkan Malaysia mengiringi Vietnam yang juga juara Kumpulan B ke separuh akhir. Thailand dan Filipina pula masing-masing mara selaku juara Kumpulan A dan C.
Pertemuan dengan Singapura disifatkan aksi balas dendam buat anak buah Nafuzi Zain. Ini kerana Thailand bertanggungjawab menyingkirkan Malaysia dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2026.
Kali terakhir Malaysia menewaskan Thailand dalam Sukan SEA ialah edisi 2022. Gol pemain sayap Kuching City FC, Danial Asri dan gol sendiri Anusak Jaiphet mengakibatkan Thailand tewas di peringkat kumpulan.
Kempen Malaysia B-23 di peringkat separuh akhir bakal diperkuatkan dengan kehadiran Fergus Tierney dan Haqimi Azim Rosli.
Kedua-dua pemain bakal memperkuatkan skuad negara selepas sah layak ke separuh akhir. Ini bermakna Tierney terpaksa melupakan aksi final Piala FA bersama Sabah FC.
Ini kerana aksi separuh akhir Sukan SEA akan berlangsung sehari selepas final yang menemukan Sang Badak dan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).