Final Piala FA: Jurulatih Sabah Enggan Guna Taktik Shanghai Port
MakanBola
Sabah FC

Pengendali Sabah FC, Jean-Paul de Marigny tidak berminat menggunakan taktik Shanghai Port menjelang aksi final Piala FA 2025 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Taktik itu merujuk kepada taktik bertahan yang digunakan juara Chinese Super League (CSL) 2025 itu ketika menentang JDT di pentas ACLE baru-baru ini.

Meskipun terpaksa menyerap 48 percubaan termasuk 12 percubaan tepat JDT, Shanghai berjaya mencuri satu mata dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Apabila ditanya tentang perkara tersebut, de Marigny melihat pertahanan sebahagian daripada pelan permainan Sang Badak.

Ini kerana berdasarkan pemerhatian beliau, Sabah ialah pasukan menyerang dan kerap menjaringkan gol. Justeru, de Marigny melihat taktik bertahan tidak bersesuaian dengan pelan taktikal beliau.

“Tidak. Sudah tentu bertahan sebahagian daripada prinsip kita sama seperti bila kita menyerang. Seperti kita berada dalam fasa peralihan, ianya sama saja,” katanya dalam sidang media praperlawanan.

“Permainan tetap sama dari segi cabaran. Jadi, kita kena realisasikan semua aspek dalam permainan sebaik mungkin.

“Itu yang kita akan lakukan. Jika anda mengikuti kita sejak lapan perlawanan lalu, kita satu pasukan yang menyerang dan mahu menjaringkan gol. Kita telah menjaringkan gol dan kita akan terus menjaringkan gol.”

Sabah berharap dapat mengakhiri kemarau juara Piala FA sejak tahun 1995. Aksi ini juga dilihat buat Sang Badak membalas dendam dengan JDT.

Ini kerana Harimau Selatan telah membelasah Sabah 8-0 dalam aksi liga yang berlangsung pada September lalu.