Malaysia B-23 Enggan Buat Silap Bertemu Thailand
MakanBola
FA MALAYSIA

Skuad Malaysia B-23 bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan lalu apabila berdepan cabaran tuan rumah, Thailand, dalam aksi separuh akhir Sukan SEA 2025.

Harimau Muda bakal meneruskan perjuangan dalam temasya berprestij itu dengan menentang Thailand selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai naib juara kumpulan terbaik, manakala Thailand muncul juara Kumpulan A.

Ketua jurulatih Malaysia B-23, Nafuzi Zain menegaskan bahawa pasukannya perlu kekal berdisiplin serta bermain mengikut acuan sendiri bagi menghadapi tekanan sebagai pasukan pelawat.

“Kami perlu bermain dengan gaya permainan kami sendiri dan bersedia sepenuhnya untuk 90 minit, atau 120 minit sekiranya perlawanan berlanjutan ke masa tambahan. Pemain perlu tampil dengan keyakinan tinggi serta kekuatan mental yang mantap,” katanya.

Menurut Nafuzi, aspek kesilapan kecil perlu dielakkan kerana ia mampu memberi kelebihan kepada lawan.

“Kami tidak mahu melakukan kesilapan kerana Thailand adalah pasukan yang sangat berdisiplin,” ujar beliau pada sidang media menjelang pertemuan tersebut.

Perlawanan separuh akhir antara Thailand dan Malaysia dijadual berlangsung pada Isnin, 15 Disember 2025, jam 9.00 malam (waktu Malaysia) di Stadium Rajamangala, Bangkok.