Final Piala FA: “Kad Merah Miguel Cifuentes Agak Pelik” – Jurulatih Sabah
MakanBola
Sabah FC

Ketua jurulatih Sabah, Jean Paul de Marigny menyampaikan pandangan beliau mengenai keputusan kad merah kepada Miguel Cifuentes ketika perlawanan akhir Piala FA bertemu JDT.

Sabah turun ke perlawanan akhir Piala FA buat kali pertama selepas 27 tahun dengan misi untuk menumbangkan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang hadir membawa status selaku juara bertahan.

Walau bagaimanapun, impian Sabah untuk mengejutkan JDT itu tidak kesampaian apabila Sang Badak tewas 5-0 hasil gol daripada 4 bintang Harimau Selatan berbeza selain jaringan sendiri Rawilson Batuil.

Dalam aksi terbabit, Sabah terpaksa akur apabila kehilangan Miguel Cifuentes yang dilayangkan kad merah oleh pengadil, atas dakwaan melakukan kekasaran lewat kepada Jonathan Silva.

Layangan kad merah di awal babak kedua tersebut memaksa Sabah beraksi dengan hanya 10 orang pemain sekitar hampir 40 minit sekaligus merencatkan perancangan untuk kembali bangkit.

Menurut Jean Paul de Marigny, bercakap mengenai sebarang keputusan pengadil bukanlah hal yang disukai namun dua situasi melibatkan pembatalan gol Sabah dan kad merah itu dilihat sedikit aneh.

“Saya sebenarnya tidak gemar bercakap mengenai pengadil kerana itu merupakan tugas yang sukar, namun dari sudut pandangan saya, kedua-dua situasi tersebut agak pelik.”

Jaringan Ajdin Mujagic pada minit ke-28 itu dianggap cukup mengecewakan apabila dibatalkan manakala kad merah buat Miguel Cifuentes pula dinilai sedikit aneh berdasarkan posisi pemain terlibat.

”Anda tahu, kami menyumbat satu gol yang amat cantik dan apabila dibatalkan, itu sedikit mengecewakan terutama buat pasukan dan pemain yang terlibat. Itu situasi pertama.

“Situasi kedua (kad merah Miguel Cifuentes) pula agak pelik kerana pemain kami sebenarnya berada di hadapan pemain pertahanan (JDT).

Jurulatih itu merasakan pengadil sepatutnya melayangkan kad kuning kepada Jonathan Silva oleh kerana kedudukan pemain itu di belakang Miguel Cifuentes namun sebaliknya berlaku.

“Secara peribadi, saya rasakan pertahanan lawan (Jonathan Silva) sepatutnya dilayangkan kad kuning, namun keputusan pengadil adalah sebaliknya,” luah Jean Paul de Marigny.

“Ini sememangnya perlawanan akhir yang sukar, apatah lagi berdepan pasukan terbaik.”

Kejayaan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu memberikan JDT kejuaraan Piala FA buat kali ke-4 berturut-turut sejak musim 2022 dan secara kemenangan ke-5 keseluruhan dalam rekod kelab itu.