Komen Liridon Krasniqi Cetus Rasa Teruja Peminat Sabah
MakanBola
FA Malaysia

Pemain tengah naturalisasi Harimau Malaya, Liridon Krasniqi meninggalkan satu komen yang membuatkan peminat Sabah berasa teruja.

Sabah baru sahaja ditabalkan selaku naib juara Piala FA bagi musim ini selepas tewas di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Bukit Jalil pada Ahad.

Walaupun kalah, Sabah mengharungi perjalanan yang cukup hebat dalam saingan Piala FA kali ini termasuklah cemerlang menyingkirkan finalis musim lalu, Selangor dalam aksi penuh dramatik.

Tinjauan di ruangan komen menyaksikan para peminat setia Sabah tetap menghamburkan pujian buat para pemain yang telah berjuang bermati-matian sepanjang kempen Piala FA musim ini.

Di sebalik pujian yang mengalir, fokus para penyokong Sabah bagaimanapun terarah kepada satu komen yang ditinggalkan oleh pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi di laman Instagram.

Komen Liridon tersebut seakan memberi bayangan beliau bersedia untuk mewakili Sabah sekiranya khidmat pemain tengah yang mesra disapa Matdon itu diperlukan pasukan dari Borneo itu.

”Kalau awak perlukan bantuan, hubungi saya,” tulis Liridon Krasniqi di ruangan komen Instagram Official Sabah FC.

Liridon Krasniqi kini beraksi dalam saingan Baller League UK bersama kelab ternama England, NDL FC selain turut pernah beraksi dalam saingan divisyen dua Switzerland sebelum ini.

Nama Liridon Krasniqi memang tidak asing lagi dalam kancah Liga Malaysia ini selepas tonggak kelahiran Kosovo ini pernah bersama Kedah, JDT dan kali terakhir Terengganu pada 2023 lalu.