3 Tonggak Warisan Malaysia Raikan JDT Rangkul Piala FA
MakanBola
DYAM Tunku Ismail

Tiga tonggak warisan Harimau Malaya meraikan kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul trofi Piala FA buat kali keempat berturut-turut.

Tiga tonggak yang dimaksudkan ialah Joao Figueiredo, Hector Hevel dan Jon Irazabal. Gambar ketiga-tiga pemain ini dikongsikan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di media sosial.

Salah satu gambar keraian JDT menunjukkan baginda bersama Figueiredo, Hevel dan Irazabal. Tunku Ismail turut melafazkan kalimah syukur kepada Allah s.w.t atas kejayaan terbaru JDT.

Figueiredo sempat terlibat dalam aksi Piala FA bersama JDT. Beliau menyumbat satu gol buat Harimau Selatan ketika menewaskan UM Damansara 5-0 pada 16 Ogos lalu.

Ketiga-tiga pemain ini menjadi sebahagian daripada tujuh pemain yang dikenakan penggantungan FIFA akibat isu pemalsuan dokumen.

Selain Figueiredo, Hevel dan Irazabal, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Facundo Garces dan Gabriel Palmero turut berdepan penggantungan sama.

Kes mereka dan FAM kini dibawa kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas selesai proses rayuan dengan Jawatankuasa Rayuan FIFA.