Pemain perancang Malaysia, Kobe Chong mula menunjukkan impak segera bersama kelab baharunya, Stourbridge.
Ini selepas bantuan golnya membantu kelab itu menewaskan Royston Town 3-2 dalam aksi terbaru Southern League Premier Division Central.
Hantaran kemas Kobe pantas disudahkan Dan Lewis untuk gol kemenangan Stourbridge. Beliau turut merasa gembira kerana dapat membuat impak segera bersama pasukan itu.
“Satu perasaan yang bagus untuk mencipta gol kemenangan hari ini, semua pihak berhak mendapat tiga mata hari ini,” katanya di X.
Kobe turut mendedikasikan bantuan golnya buat mendiang rakan rapatnya bernama Derrick. “Tempoh beberapa bulan ini amat sukar bagi saya secara peribadi kerana kehilangan salah seorang rakan rapat saya.
“Saya ingin dedikasikan (bantuan gol saya) hari ini kepada beliau,”ujarnya.
Kobe menyertai Stourbridge selepas meninggalkan Worcester City baru-baru ini. Selain Stourbridge dan Worcester, beliau juga pernah bermain untuk Peterborough United, Cagliari, Kettering Town, Alvechurch dan Barwell.