Malaysia terpaksa akur tumbang dalam aksi separuh akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2025 kepada Thailand dan terlepas peluang untuk melangkah ke final.
Kedua-dua negara turun dengan misi untuk memburu tiket ke perlawanan akhir setelah Thailand berjaya bergelar juara kumpulan A tatkala Malaysia mara selaku naib juara terbaik.
Haqimi Azim kembali di dalam kesebelasan utama Malaysia selepas disisihkan ketika bertemu Vietnam tatkala Thailand menurunkan penyerang muda berbakat, Yotsakorn Burapha.
Ketajaman Yotsakorn Burapha berjaya memberikan jaringan awal buat Thailand B-2 apabila tendangan percuma pemain berusia 20 tahun ini terus menembusi pintu gol negara pada minit ke-8.
Malang buat skuad muda Malaysia apabila terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain seawal minit ke-15 selepas Aiman Yusof dilayangkan kad kuning kedua gara-gara menarik baju lawan.
Kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan di Stadium Rajamangala untuk membawa Thailand layak beraksi di final bola sepak lelaki Sukan SEA 2025 dan akan turun berdepan Vietnam.