Jurulatih Thailand, Thawatchai Damrong-Ongtrakul mengakui anak buahnya terpaksa berjuang mengatasi tentangan skuad Malaysia B-23 sebelum layak ke final Sukan SEA 2025.
Komen tersebut dibuat bekas jurulatih Chonburi itu selepas aksi separuh akhir antara kedua-dua pasukan itu di Stadium Rajamangala.
Meskipun ketinggalan menerusi gol Yotsakorn Burapha dan bermain dengan 10 pemain, itu tidak menjejaskan semangat juang anak buah Nafuzi Zain.
Malah, skuad Harimau Muda berusaha merobek gawang Thailand yang dikawal Sorawat Phosaman. Ini memaksa anak buah Thawatchai mempertahankan gol mereka sehingga wisel penamat.
Jurulatih berusia 51 tahun itu menyifatkan semangat juang yang dimiliki Malaysia B-23 sepanjang perlawanan itu patut dikagumi.
“Malaysia memiliki kualiti. Semangat berpasukan mereka juga sangat bagus. Ia sesuatu yang patut dikagumi,” katanya.
“Dan mereka berjuang habis-habisan. Meskipun bermain dengan 10 orang pada separuh masa pertama, mereka tetap berjuang untuk mendapatkan kawalan bola.”
Keputusan ini menyaksikan Thailand akan berentap dengan Vietnam di pentas final. Malaysia B-23 pula akan berentap dengan Filipina untuk penentuan pingat gangsa.