Tiada Pemain Malaysia Boleh Ganti Arif Aiman
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Manuel Hidalgo menyifatkan tiada pemain Malaysia mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Arif Aiman Hanapi.

Pandangan itu dibuat beliau selepas aksi final Piala FA 2025 membabitkan pasukan itu dan Sabah FC baru-baru ini.

Hidalgo menyifatkan Arif Aiman sebagai pemain sayap terbaik yang dimiliki Harimau Selatan.

Malah, beliau merasakan tiada siapa termasuk dirinya mampu mengisi posisi sayap kanan sebaik pemain sayap Harimau Malaya itu.

“Saya fikir tiada siapa di Malaysia boleh berada di posisi Arif. Beliau merupakan pemain terbaik yang kita ada,” katanya.

“Dan kita tak sabar untuk mengalu-alukan beliau kembali bila beliau pulih daripada kecederaan. Saya fikir bukan saya atau sesiapa dalam pasukan boleh berada di posisinya.”

Arif Aiman ketika ini menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan hamstring. Kecederaan itu dialami ketika beraksi bersama Harimau Malaya pada November lalu.

Beliau turut menjalani pembedahan di Finland bagi membantu proses pemulihannya. Pakar bedah Arif Aiman merupakan pakar bedah sama yang membantu pemulihan pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembele.