Calon Pemain Terbaru Perkuat Harimau Malaya 
MakanBola
Malaysia NT

Harimau Malaya memiliki calon pemain terbaru dalam usaha memperkuat pasukan pada tahun 2026.

Skuad kendalian Peter Cklamovski cemerlang menutup kempen Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 dengan kemenangan ke atas Nepal.

Pasukan kebangsaan turut melakar kejayaan apabila merekodkan kesemua aksi tanpa tewas bagi tahun 2025 dan menjadi satu-satunya negara di Asia Tenggara merekodkan pencapaian tersebut.

Harimau Malaya mengharungi beberapa aksi terakhir tanpa tujuh tonggak warisan yang masih berkait dengan kes Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Khabar terbaru diberikan oleh pemain sayap lincah Johor Darul Ta’zim (JDT), Manuel Hidalgo yang berpotensi menerima kerakyatan Malaysia tahun hadapan.

Tonggak berusia 26 tahun itu bakal memasuki tahun kelimanya beraksi di Malaysia sejak kali pertama tiba pada tahun 2021 daripada kelab England, Sheffield United.

Beliau dalam satu temu bual selepas final Piala FA 2025-26 menyatakan bahawa beliau bakal menerima kerakyatan Malaysia menjelang tahun 2026.

“Saya menunggu menjelang tahun depan (2026), saya akan menjadi pemain tempatan dengan pasport kerana ini tahun kelima saya berada di Malaysia,” katanya selepas perlawanan.

Sekiranya menjadi kenyataan, tonggak kelahiran Olivos, Argentina ini bakal menjadi tonggak naturalisasi terbaru selepas Jordan Mintah (Kuching City).