Nafuzi Zain: Kad Merah Ubah Segalanya
MakanBola
Changsuek

Jurulatih Malaysia B-23, Nafuzi Zain mengakui kad merah yang diterima Aiman Yusuf Nabil mengubah aksi separuh akhir Sukan SEA antara pasukan itu dan Thailand.

Selepas ketinggalan menerusi gol Yotsakorn Burapha, skuad negara dipaksa beraksi dengan 10 pemain pada separuh masa pertama.

Ini selepas Aiman Yusuf diarah keluar padang kerana mengutip kad kuning kedua. Malaysia B-23 cuba bangkit tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Nafuzi mengakui keputusan kad merah itu mengubah momentum perlawanan. Pada masa sama, beliau tidak menyalahkan Aiman Yusuf atas apa yang berlaku.

“Saya fikir kita cuba memulakan perlawanan, mendominasi dan mendapatkan keyakinan kita. Malangnya, pemain kita mendapat kad merah (dan kad merah itu mengubah segalanya).

“Tapi saya tak boleh salahkan dia (Aiman Yusuf) kerana dia masih muda dan berusia 19 tahun.

“Dia masih kurang berpengalaman tetapi sudah bersedia untuk masa depan beliau seorang pemain yang bagus dan berbakat,” katanya.

Fokus Nafuzi kini beralih kepada aksi penentuan pingat gangsa menentang Filipina pada 18 Disember ini.

Meskipun kehilangan Aiman Yusuf kerana menjalani penggantungan perlawanan, Rahman Daud kembali memperkuatkan skuad Malaysia B-23.

Sebelum ini, penjaring terbanyak bersama Liga A1 Semi-Pro itu tidak dapat diturunkan untuk aksi menentang Thailand kerana menjalani penggantungan perlawanan.