Republik Demokratik Congo (DR Congo) bakal berdepan situasi sukar dengan FIFA.
Wartawan bola sepak Afrika terkenal, Micky Jnr melaporkan Nigeria telah membawa isu pemain warisan DR Congo ke pengetahuan FIFA.
Nigeria mendakwa salah seorang pemain DR Congo, Aaron Wan-Bissaka tidak sepatutnya beraksi untuk pasukan tersebut.
Ini kerana mereka mendakwa proses pertukaran kerakyatan bekas bintang Manchester United itu masih belum lengkap.
Ini disebabkan undang-undang DR Congo melarang warganya memegang dwikerakyatan. Atas sebab itu, Nigeria percaya Wan-Bissaka masih belum melepaskan pasport England.
Selain pemain pertahanan West Ham United itu, Nigeria mendakwa lima lagi pemain DR Congo turut berdepan situasi sama seperti Wan-Bissaka.
Lima pemain tersebut ialah Nathaniel Mbuku, Lionel Mpasi, Timothy Fayulu, Michel-Ange Balikwisha dan bekas graduan akademi Manchester United, Axel Tuanzebe.
Sejak membuat penampilan pertama pada Mei 2025, Wan-Bissaka telah membuat enam penampilan bersama DR Congo.
Susulan itu, Nigeria memohon FIFA agar menyingkirkan DR Congo daripada pusingan playoff Piala Dunia 2026.
Seandainya rayuan Nigeria diterima, pasukan itu yang akan mara menggantikan DR Congo. Sebelum ini, negara itu kecewa apabila tewas kepada DR Congo dalam aksi playoff menerusi penentuan penalti.