Di Mana Kedudukan Mata Malaysia Ketika Ini?
MakanBola
Malaysia NT

Kedudukan mata ranking Malaysia ketika ini jadi perhatian selepas dijatuhkan hukuman oleh FIFA.

Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjatuhkan hukuman ke atas Harimau Malaya yang didapati bersalah melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA selepas menyenaraikan 7 pemain warisan dalam 3 aksi antarabangsa Tier 1.

Susulan itu, keputusan 3 perlawanan tersebut iaitu berdepan Cape Verde, Singapura dan Palestin telah pun dibatalkan dan FIFA mengumumkan Malaysia tewas 3-0 dalam kesemua aksi terbabit.

Hukuman itu tampak memberikan impak yang besar khusus buat mata ranking Malaysia setelah Harimau Malaya berjaya merekodkan dua kemenangan dan satu keputusan seri dalam aksi itu.

Kedudukan ranking FIFA kini menyaksikan Malaysia berada di tangga ke-116 dunia dengan mengutip 1168.41 mata selepas menutup 2025 dengan penuh bergaya tanpa tewas dalam 8 perlawanan.

Walau bagaimanapun, dengan 3 kekalahan yang diumumkan oleh FIFA ini, tambahan mata ranking yang diraih ketika atasi Singapura dan Palestin selain mengikat Cape Verde dijangka akan ditolak.

Kemenangan ke atas Singapura dan Palestin masing-masing menghadiahkan tambahan +3.86 dan +5.89 mata ranking FIFA kepada Malaysia, sementara aksi berdepan Cape Verde menyumbang +1 mata.

Keseluruhannya sebanyak +10.75 mata berjaya dikumpulkan dalam 3 perlawanan tersebut, dan kiraan tidak rasmi setelah penolakan mata menyaksikan Malaysia mengumpul 1157.66 mata.

Kiraan mata tidak rasmi itu bakal menyaksikan Malaysia turun satu anak tangga ke kedudukan 117 dunia, dipotong oleh The Gambia yang mengumpul sebanyak 1161.55 mata buat masa ini.

Setakat ini, masih belum terdapat sebarang pengesahan rasmi membabitkan mata ranking Malaysia dengan carta kedudukan FIFA juga masih belum dikemas kini.