Sukan SEA: Skuad Futsal Malaysia ‘Baham’ Myanmar
UltraSukan
FA Malaysia

Malaysia meneruskan rentak cemerlang dalam aksi pusingan round robin Sukan SEA 2025 apabila membelasah Myanmar di Stadium Nonthaburi.

Selepas mengejutkan Vietnam 4-2, skuad negara yang dibimbing Rakhpol Sainetngam semakin bernafsu memburu kemenangan kedua ke atas Myanmar.

Syahir Iqbal Khan Akbar Khan terus menjadi sandaran gol Malaysia. Myo Myint Soe menggalas tugas sebagai kapten Myanmar.

Myanmar bernasib malang apabila dibolosi seawal minit ketiga hasil gol sendiri Myint Soe. Awaluddin Mat Nawi menggandakan kelebihan Malaysia pada minit ketujuh.

Harith Naim Nasir dan Danial Dain masing-masing mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-13 dan 14.

Naing Linn Tun Kyaw merapatkan jurang buat Myanmar dua minit selepas itu. Firdaus Ambiah dan Syahir Iqbal memastikan Malaysia mendahului 6-1 sehingga rehat.

Sebelum Malaysia kembali ke bilik persalinan, Ridzwan Bakri dilayangkan kad merah oleh pengadil. Tindakan pengadil dipersoal kem negara termasuk pengurus pasukan, Datuk Seri Haji Rosmadi Ismail.

Bersambung pada babak kedua, Malaysia terus memberi tekanan ke atas Myanmar untuk mendapatkan gol tambahan.

Lapan minit selepas perlawanan bersambung, Syahir menambah derita Myanmar dengan gol ketujuh. Syed Shahrul Nizam Syed Abdul Rahim melengkapkan malam gemilang Malaysia dengan gol kelapan pada minit ke-39.

Myanmar berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 8-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Malaysia kembali memintas Vietnam di tangga ketiga dengan enam mata.

Selepas ini, Malaysia akan menentang negara jiran, Indonesia pada 18 Disember.