“Lebih Baik Kalah Lawan JDT Berbanding Pencabar Lain” – Risto Vidakovic
MakanBola
KL City FC

Jurulatih KL City, Risto Vidakovic melihat kekalahan di tangan JDT dalam aksi Liga Super suatu pengajaran berguna kepada pemain-pemain.

Satu perlawanan tertunda Liga Super minggu ke-11 diadakan pada Rabu melibatkan pertembungan dua kelab teratas yang masing-masing belum kalah antara KL City vs JDT di Cheras.

Pertemuan tersebut bagaimanapun memihak skuad Harimau Selatan itu dengan kemenangan besar 4-0 hasil gol daripada Antonio Glauder, Manuel Hidalgo, Jairo Da Silva serta Oscar Arribas.

Selepas perlawanan berlangsung, ketua jurulatih KL City iaitu Risto Vidakovic menganggap apa-apa sahaja boleh berlaku di atas padang meskipun turun menentang pasukan seperti JDT.

Dalam masa yang sama, beliau melihat kekalahan di tangan lawan seperti JDT ini adalah lebih baik berbanding kepada pasukan pencabar yang boleh menggugat posisi KL City di tangga kedua..

“Apabila menentang JDT, anda boleh memikirkan keputusan seri, kekalahan dan apa sahaja. Tetapi apa-apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan seperti ini.”

“Bagi saya, lebih baik kalah kepada mereka (JDT) berbanding kalah di tangan pencabar yang langsung (kerana) kami sedang bersaing merebut tempat kedua dan ke-3,” ulas Risto Vidakovic.

Sungguhpun begitu, Vidakovic bukanlah menormalisasikan kekalahan, sebaliknya beliau tetap mahukan para pemain KL Coty mengekalkan rekod tanpa tewas namun perkara itu tak berlaku.

“Kekalahan tidak pernah bagus, tidak pernah. Kami mahu memenangi semua perlawanan, namun hari ini kami tewas.

“Sekarang, seperti yang saya katakan sebelum ini, kami perlu melupakan kekalahan ini secepat mungkin.”

KL City yang berada di kedudukan kedua buat masa ini bakal meneruskan saingan Liga Super bertemu Negeri Sembilan di Paroi pada Sabtu, 20 Disember hadapan dalam misi bangkit meraih 3 mata.