Seorang atlet e-sukan Thailand dikesan menipu dalam acara membabitkan Arena of Valor (RoV) Sukan SEA 2025.
SNE Sports melaporkan Napat Warasin atau Tokyogurl dikesan menggunakan perisian pihak ketiga yang tidak dibenarkan semasa kejohanan berlangsung pada 15 Disember lalu.
Situasi ini menyebabkan Persatuan E-Sukan Thailand (EAT) mengambil keputusan menarik pasukan wanita RoV Thailand daripada terus bersaing dalam kejohanan.
Keputusan ini dibuat tatkala Thailand berentap dengan Laos untuk merebut slot ke final. Presiden EAT, Santi Lohtong menyifatkan keputusan ini ialah keputusan terbaik untuk semua pihak.
“Saya dengan ini mengumumkan bahawa Thailand akan menarik diri daripada pasukan kebangsaan AOV Wanita daripada Sukan SEA ke-33.
“Kami menghormati peraturan, kami menghormati persahabatan dan kami menghormati semangat kesukanan.
“Apa yang telah berlaku adalah di luar tanggungjawab kami. Sebagai negara tuan rumah, kami tidak boleh membiarkan pertandingan diteruskan dalam keadaan ini,” katanya.
Santi turut berterima kasih kepada Presiden Persatuan E-Sukan Laos, Jonathan kerana tidak mengemukakan bantahan pasukan wanita Laos berhubung isu tersebut.
Susulan itu, pasukan Tokyogurl, Talon Esports menamatkan kontraknya berkuatkuasa serta-merta.
Garena pula memutuskan untuk mengenakan penggantungan ke atas Tokyogurl daripada sebarang pertandingan anjuran pihaknya bermula pada 16 Disember lalu.