Bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora dilaporkan bakal berkelana ke Indonesia.
Selepas memilih berpisah dengan kelab Mexico, Queretaro, ramai peminat ingin tahu destinasi jurulatih berusia 46 tahun itu.
Kini, Jawa Pos melaporkan Mora bakal menggalas peranan sebagai jurulatih kelab Indonesia, Persebaya Surabaya.
Khabar angin itu makin kuat diperkatakan apabila bekas jurulatih Atlas itu mengikuti beberapa akaun Instagram Persebaya termasuk akaun rasmi kelab itu.
Sekiranya pelantikan ini menjadi kenyataan, beliau mengikut jejak dua bekas jurulatih JDT, Mario Gomez dan Bojan Hodak. Jurulatih Argentina itu bukan asing di Indonesia kerana pernah melatih beberapa kelab.
Antara kelab yang pernah dilatih Gomez ialah Persib Bandung, Arema FC, Borneo FC dan Bhayangkara. Beliau kini melatih kelab Bangladesh, Bashundhara Kings.
Nama Hodak pula semakin harum selepas menyertai Persib pada 2023. Beliau membantu kelab itu bergelar juara liga dua kali berturut-turut.
Sepanjang bersama JDT dari 2018 hingga 2022, Mora membantu JDT meraih sembilan trofi termasuk Liga Super dan Piala Malaysia.
Selain JDT, Queretaro dan Atlas, beliau juga pernah melatih York United dan Atletico Chiapas. Ini bukan kali pertama Mora dikaitkan dengan kelab Indonesia.
Sebelum ini, khidmat beliau pernah dirisik Persib pada 2023. Walau bagaimanapun, usaha itu tidak berhasil dengan Persib kemudiannya merekrut Hodak sebagai jurulatih mereka.