Malaysia membawa pulang pingat gangsa Sukan SEA selepas menampilkan aksi penuh disiplin dan semangat juang tinggi, sekali gus menghampakan hasrat Filipina untuk menamatkan kempen di podium.
Malaysia mempertaruhkan Zulhilmi Sharani di benteng terakhir, dengan Ubaidullah Shamsul mengetuai kesebelasan utama manakala Rahman Daud diberi tanggungjawab mengemudi jentera serangan.
Di kem Filipina pula, Nicholas Guimaraes diturunkan di posisi utama sementara Sandro Reyes menggalas peranan selaku ketua pasukan bagi perlawanan ini.
Perlawanan bermula dengan tempo garang apabila kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan balas bagi memburu gol pembukaan.
Malaysia terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi bintang JDT II, Danish Hakimi, sekali gus memberikan kelegaan kepada kem pasukan Harimau Muda B-23.
Namun, Filipina berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36 hasil jaringan pemain Malaysia, Haqimi Azim, yang tertanduk masuk bola ke gawang sendiri.
Haqimi Azim bagaimanapun menebus kesilapannya apabila kembali meledak gol pada minit ke-43 selepas memanfaatkan kesilapan mudah penjaga gol Filipina, Nicholas Guimaraes.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 1-2 memihak kepada pasukan Malaysia.
Memasuki babak kedua perlawanan, Filipina jelas meningkatkan intensiti permainan dalam usaha memburu gol penyamaan.
Namun, Malaysia kekal berdisiplin apabila berjaya menyekat setiap asakan yang dilancarkan oleh pemain Filipina, termasuk ancaman daripada Santiago Rublico dan Dylan Demunyck.
Pada minit ke-70, Malaysia membuat pertukaran strategik dengan memasukkan Muhammad Abu Khalil bagi menggantikan Abdul Rahman Daud, sekali gus menyuntik tenaga dan ancaman baharu di jentera serangan.
Memasuki minit ke-80 kedudukan masih didahului oleh pasukan Malaysia dengan satu jaringan.
Tambahan masa 5 minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.
Aksi di Stadium Rajamangala, Bangkok berakhir dengan kemenangan 1-2 buat pasukan Malaysia, sekali gus menghadiahkan pingat gangsa Sukan SEA 2025 dalam acara bola sepak.