Penyerang Brazil, Willian Lira sah tidak lagi bersama Selangor FC.
Ini selepas pengurusan Selangor memaklumkan kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan secara bersama untuk menamatkan kontrak.
“Willian Lira, penyerang pasukan, telah mencapai persetujuan bersama kelab untuk menamatkan kontraknya hari ini.
“Pihak kelab merakamkan ucapan terima kasih kepada Lira atas semangat dan profesionalisme yang telah ditunjukkan sepanjang tempohnya bersama keluarga Gergasi Merah,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Lira menyertai Selangor pada awal musim 2025/26 sebagai sebahagian daripada peledak baharu pasukan itu.
Meskipun begitu, beliau hanya menyumbat dua gol dalam 16 penampilan bersama Merah Kuning. Dua gol itu direkodkan dalam saingan Piala FA dan Shopee Cup.
Selain Lira, Selangor turut mencapai persetujuan dengan bek kiri Thailand, Kevin Deeromram untuk menamatkan kontraknya lebih awal.
Situasi ini menyaksikan Mamadou Diarra, Richmond Ankrah, Picha Autra, Omid Musawi, Noor Al-Rawabdeh, Mohammad Abualnadi, Zach Clough dan Chrigor Moraes sebagai tonggak import Selangor.
Selangor dijangka melakukan lebih banyak perubahan menjelang tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M) pada Januari 2026.
Sebelum ini, kelab mengumumkan kepulangan Safuwan Baharudin dan Alex Agyarkwa selepas menamatkan tempoh pinjaman dengan kelab masing-masing.
Mereka akan kembali beraksi bersama Selangor secara rasmi pada Januari ini.