Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski merasa bangga dengan pencapaian pingat gangsa Sukan SEA yang dilakar skuad Malaysia B-23.
Meskipun berdepan pelbagai cubaan sebelum menghadapi temasya tersebut, anak buah Nafuzi Zain meraih pingat gangsa buat kali pertama sejak edisi 2005 di Bacolod, Filipina.
Malaysia B-23 meraih gangsa dengan menewaskan Filipina 2-1 di Stadium Rajamangala. Skuad negara mendahului lawan pada minit ke-28 menerusi Danish Hakimi Sahaludin.
Filipina menyamakan kedudukan menerusi gol sendiri Haqimi Azim Rosli pada minit ke-36. Penyerang KL City FC itu menebus kesilapannya dengan menyumbat gol kemenangan pada minit ke-43.
Sebaik mengetahui berita kejayaan anak buah Nafuzi, Cklamovsik menyuarakan rasa bangga atas pencapaian yang dilakar mereka.

“Sangat bangga dengan anda semua. Tahniah,” katanya dalam satu hantaran di Instagram Story.
Bekas jurulatih FC Tokyo itu turut memuji usaha semua pihak termasuk barisan kejurulatihan Malaysia B-23 dalam merealisasikan pencapaian itu.
“Saya bangga dengan Coach Nafuzi, semua staf (kejurulatihan) beliau dan para pemain. Tahniah,” tambahnya.
Kejayaan ini cukup bermakna buat skuad Malaysia B-23. Ini kerana mereka turut melunaskan dendam dengan lawan sama yang mengalahkan mereka dalam saingan ASEAN B-23 Mandiri Cup.