Nama bekas penyerang Selangor FC, Ali Olwan kembali menjadi sebutan ramai penyokong Jordan.
Ini selepas penyerang berusia 25 tahun itu memenangi Kasut Emas FIFA Arab Cup. Ali dipilih sebagai pemenang selepas merekodkan enam gol dalam kejohanan.
Ini termasuk dua gol untuk Al-Nashama dalam aksi final FIFA Arab Cup menentang Maghribi. Walau bagaimanapun, itu tidak cukup untuk menghalang Maghribi meraih kemenangan 3-2.
Maghribi muncul juara dengan meledakkan tiga gol. Selepas terikat 2-2 sehingga 90 minit, Abderrazak Hamdallah muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada masa tambahan.
Putera Mahkota Jordan, Putera Hussein menyampaikan anugerah Kasut Emas kepada Ali selepas perlawanan.
Bekas penyerang Al-Shamal SC itu menyertai Selangor semasa tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.
Meskipun hanya sempat beraksi selama semusim, Ali membantu Selangor muncul juara MFL Challenge Cup dan naib juara Liga Super musim lalu.
Selepas meninggalkan Selangor, beliau memilih beraksi bersama kelab Iraq, Al-Karma pada Julai lalu.