Ke Manakah Destinasi Baharu Wan Kuzain?
MakanBola
St. Louis City 2

Destinasi baharu pemain tengah Malaysia, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal dijangka menjadi bualan peminat bola sepak negara.

Ini selepas kelabnya, St. Louis City 2 (STL2) mengumumkan Kuzain salah seorang daripada lapan pemain yang akan tamat kontrak bersama pasukan itu pada 31 Disember ini.

Selain beliau, Ryan Beecher, Dida Armstrong, Cam Cilley, Lucas Demitra, Larsen Hackworth, Matteo Kidd dan Gabriel Mikina juga berdepan situasi sama.

St. Louis City 2 turut mengumumkan bahawa kelab tidak mengaktifkan klausa kontrak baharu musim 2026 untuk penyerang Finland, Emil Jaaskelainen dan Colin Welsh.

Welsh kini mengadakan perbincangan dengan kelab itu untuk potensi kembali beraksi pada tahun hadapan.

Tetingkap perpindahan Januari 2026 dijangka membuka ruang buat Kuzain mengadakan perbincangan dengan kelab-kelab yang berminat sebagai ejen bebas.

Ini turut membuka peluang buat mana-mana kelab Liga Super yang berminat mendapatkan beliau. Ini kerana tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dibuka pada Januari ini.

Sepanjang bersama St. Louis City 2, Kuzain merekodkan 96 penampilan, 15 gol dan 12 bantuan gol. Selain St. Louis City 2, beliau juga pernah beraksi untuk Sporting Kansas City dan Sporting Kansas City II.

Musim 2025 menyaksikan Kuzain membantu St. Louis City 2 mengakhiri kempen MLS Next Pro sebagai pendahulu Eastern Conference dengan 62 mata.

Meskipun beraksi di Amerika Syarikat (AS), beliau masih berharap dapat mewakili Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.