Terengganu FC berazam untuk menebus kehampaan di tangan Imigresen FC menjelang aksi Liga Super di Stadium Batu Kawan.
Hasrat itu dizahirkan tonggak import Sang Penyu, Careca. Memori kekalahan pasukan itu di tangan The Mighty Tigers dalam saingan Piala FA masih segar di minda bekas pemain perancang Perak FC itu.
Selepas mendahului hasil gol Yann Mabella, tuan rumah bangkit menyumbat dua gol. Rafael Holstein dan Joao Pedro masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.
Meskipun Terengganu kemudiannya menyingkirkan Imigresen dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), itu masih tidak cukup buat Careca.
Ini kerana kemenangan aksi ini memberi peluang kepada Terengganu menghambat kelompok empat pasukan terbaik liga.
“Imigresen FC pernah menewaskan kami sebelum ini, dan kami telah belajar daripada kesilapan tersebut,” katanya.
“Sepanjang sesi latihan, saya memerhati dan melihat setiap pemain memberikan komitmen 100%.
“Perlawanan sebelum ini kami memiliki banyak peluang tetapi gagal menterjemahkannya kepada jaringan. Namun kali ini kami ingin lakukannya dengan cara berbeza dan tampil berbeza.”
Careca mengakui ketiadaan beberapa tonggak sedikit sebanyak memberi kesukaran kepada Sang Penyu. Pada masa sama, beliau percaya itu bukan halangan buat Terengganu mengutip tiga mata penuh.
“Walaupun beberapa pemain utama tiada dalam aksi kali ini, saya percaya jika apa yang direncana jurulatih kami boleh terjemahkannya dalam perlawanan nanti, kami mampu membawa pulang tiga mata,” ujarnya.
Terengganu berharap dapat meraih kemenangan pertama dalam liga sejak menewaskan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) pada 3 Oktober lalu.