Malaysia meneruskan kecemerlangan dalam acara sepak takraw apabila meraih pingat emas acara regu.
Kem sepak takraw negara semakin bersemangat selepas mengakhiri kemarau 34 tahun pingat emas dalam acara regu berpasukan.
Meskipun begitu, anak buah Ahmad Jais Baharom enggan memandang rendah cabaran lawan mereka, Vietnam. Ini kerana Vietnam menyingkirkan tuan rumah, Thailand di peringkat separuh akhir.
Gandingan Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias menjadi pilihan Ahmad Jais untuk menghadapi cabaran Vietnam.
Set pertama menyaksikan Malaysia mudah mengatasi cabaran Vietnam dengan keputusan 15-9.
Set kedua menyaksikan beberapa kesilapan yang dilakukan Syahir membuka ruang buat Vietnam mendahului 6-3.
Situasi ini mendorong Ahmad Jais memasukkan tekong Negeri Sembilan Antlers, Haziq Hairul Nizam sebagai tekong menggantikan Syahir.
Kemasukan Haziq mengubah momentum perlawanan kembali kepada Malaysia. Meskipun Vietnam cuba memberi tentangan, Malaysia meraih kemenangan dengan keputusan 15-9.