Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menjatuhkan hukuman ke atas Selangor FC susulan kekecohan yang berlaku dalam aksi ACL2 menentang Persib Bandung pada 6 November lalu.
Aksi keempat Kumpulan G di Stadium MBPJ itu menjadi kecoh selepas Persib menyumbat gol kemenangan menerusi Adam Alis pada minit ke-97.
Kekecohan tercetus apabila penyokong kedua-dua pasukan bergaduh di dalam stadium. Ini memaksa perlawanan dihentikan selama beberapa minit.
Malah, kapten pasukan, Marc Klok terpaksa menghampiri kawasan tempat duduk penyokong Pangeran Biru untuk membantu pihak berkuasa menenangkan keadaan.
Susulan itu, Selangor didapati gagal melaksanakan kawalan keselamatan semasa perlawanan dan gagal menghalang penyokong menceroboh padang.
Selain itu, Merah Kuning juga didapati bersalah lewat kembali ke padang pada babak kedua. Justeru, Selangor dikenakan denda AS$15,250 (RM62,000).
Ini bukan kali pertama Selangor didenda oleh AFC. Sebelum ini, Merah Kuning turut didenda kerana lewat kembali ke padang pada babak kedua aksi ketiga ACL2 pada Oktober lalu.
Selain Merah Kuning, Persib turut dikenakan hukuman oleh AFC. AFC menjatuhkan denda sebanyak AS$30,000 (RM122,000) kepada pasukan itu.
Ini selepas penyokong Pangeran Biru dikesan menceroboh padang dan membaling objek ke arah padang dalam aksi sama.
Kesemua hukuman ini diumumkan Jawatankuasa Tatatertib AFC pada 15 Disember lalu.