Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikenakan denda oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) atas dua kesalahan yang dilakukan baru-baru ini.
Hukuman tersebut diumumkan dalam suatu kenyataan oleh Jawatankuasa Etika dan Disiplin AFC bertarikh 15 Disember lalu selepas badan induk bola sepak Asia itu mendapati FAM melakukan dua kesalahan.
Dua kesalahan tersebut dilaporkan berlaku ketika perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 antara Nepal vs Malaysia pada 18 Disember lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil yang memihak skuad negara.
Berdasarkan kenyataan daripada AFC itu, FAM diperintahkan untuk membayar denda keseluruhan berjumlah USD12,500, bersamaan kira-kira RM51,000 atas dua kesalahan yang terjadi ketika aksi itu.
Kesalahan pertama melibatkan kelewatan permulaan perlawanan apabila wakil FAM menyebabkan sepak mula tempoh pertama ditangguhkan selama satu minit 20 saat, manakala sepak mula tempoh kedua pula lewat satu minit 30 saat.
Susulan pelanggaran Artikel 2.2 Manual Operasi Pertandingan AFC itu, FAM dikenakan denda sebanyak USD2,500. Kes berkenaan turut direkodkan sebagai kesalahan kedua dalam tempoh pengulangan kesalahan atau recidivism period.
Dalam kes berasingan, FAM juga didapati gagal memastikan Mohamad Faisal bin Abdul Halim yang telah dinobatkan selaku Pemain Terbaik Perlawanan, menghadiri sidang media selepas perlawanan seperti yang diwajibkan.
Kegagalan tersebut melanggar Artikel 4.3.8 dibaca bersama Artikel 31.3 Peraturan Pertandingan Piala Asia AFC Arab Saudi 2027 dan membawa kepada denda tambahan sebanyak USD10,000.
Menurut AFC, semua denda yang dikenakan perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dimaklumkan selaras dengan Artikel 11.3 Kod Tatatertib dan Etika AFC.