Vietnam Mula Bina Stadium Kedua Terbesar Di Dunia
MakanBola
VTV1

Vietnam mula menggerakkan usaha membina stadium kedua terbesar di dunia.

ASEAN Football melaporkan majlis pecah tanah projek yang menjadi sebahagian daripada Olympic Sports Urban Area itu dirasmikan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh baru-baru ini.

Stadium yang diberi nama Stadium Trong Dong itu bakal memiliki kapasiti sehingga 135,000 tempat duduk. Stadium ini juga bakal memiliki bumbung boleh alih terbesar di dunia.

Stadium ini juga akan memenuhi piawaian FIFA dan dijangka siap pada Ogos 2028. Sekiranya projek ini berjaya dilaksanakan, Stadium Trong Dong bakal menjadi stadium kedua terbesar di dunia.

Ini kerana gelaran stadium terbesar di dunia masih dipegang Stadium Rungrado 1 Mei di Pyongyang, Korea Utara. Stadium ini memiliki kapasiti 150,000.

Selepas menjalani proses penambahbaikan pada 2014, stadium itu dikatakan telah dikurangkan kapasiti kepada 114,000 tempat duduk.

Walau bagaimanapun, ia masih berupaya meningkatkan kapasiti sehingga kapasiti asalnya iaitu 150,000 tempat duduk jika diperlukan.

Stadium ini bakal menelan belanja sebanyak AS$35 bilion (RM143 bilion). Ini dilihat sebagai pengganti jangka panjang Stadium Nasional My Dinh.

Apabila Stadium Trong Dong siap, Stadium Nasional My Dinh dijangka digunakan oleh kelab-kelab V. League 1 untuk aksi domestik.

Vietnam melihat projek stadium ini sebagai usaha merealisasikan cita-cita menganjurkan temasya lebih berprestij seperti Sukan Asia, Sukan Olimpik atau Piala Dunia.