Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengambil langkah radikal dengan memperkenalkan saingan AFC Nations League.
Langkah tersebut diumumkan AFC menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka. Ini sebahagian daripada komitmen AFC untuk memperkukuh pasukan-pasukan negara ahli mereka.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John melihat pengenalan saingan ini mampu memberi impak positif terutama dari segi pendedahan perlawanan antarabangsa yang berkualiti.
“AFC Nations League mewakili satu langkah penting ke hadapan sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk menyokong pembangunan 47 Persatuan Ahli (MA) kami,” katanya dalam satu kenyataan.
“Dengan memperkenalkan platform pertandingan berstruktur semasa Tetingkap Perlawanan Antarabangsa FIFA, kestabilan kalendar yang lebih baik dan insentif sukan yang jelas, kami menyasarkan untuk memastikan akses yang konsisten kepada perlawanan berkualiti tinggi sambil menangani cabaran logistik dan berkaitan kos yang dihadapi oleh pasukan kebangsaan.”
Pengenalan saingan ini dijangka menyaksikan negara-negara termasuk Malaysia berpeluang menikmati aksi-aksi berkualiti di peringkat antarabangsa.
Buat masa ini, AFC belum memperincikan berkenaan soal format, garis masa dan bila ia akan dilaksanakan.
Perkara ini akan dibincangkan dengan semua pemegang taruh dan jawatankuasa AFC yang relevan sebelum diumumkan.