EPL: Manchester United Jadi ‘Mangsa’ Ke-10 Aston Villa
MakanBola
Aston Villa FC

Manchester United terpaksa akur tumbang di tangan Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal pagi Isnin.

Kemenangan 2-1 memihak Aston Villa ini menyaksikan anak-anak didik Unai Emery melebarkan rekod kemenangan tanpa henti kepada 10 aksi dengan Manchester United jadi mangsa terbaharu.

Trio Benjamin Sesko, Mason Mount dan Matheus Cunha jadi sandaran serangan Manchester United manakala Aston Villa pula menurunkan Ollie Watkins bagi memburu jaringan buat tuan rumah.

Kedua-dua pasukan tampil seimbang sehinggalah Aston Villa terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-45 hasil percubaan Morgan Rogers yang sekadar diperhatikan Senne Lammens.

3 minit kemudian, Matheus Cunha menyamakan kedudukan buat United setelah kesilapan Matty Cash memberi peluang kepada penyerang Brazil tersebut menyumbat gol sebelum rehat.

Aston Villa kembali di hadapan 2-1 pada minit ke-57 selepas Morgan Rogers sekali lagi melepaskan percubaan deras dari dalam kotak penalti dan menewaskan Senne Lemmens buat kali kedua.

Aksi di Villa Park berakhir dengan kemenangan 2-1 memihak Aston Villa.