ASEAN Futsal Cup B-19: Malaysia Bangkit ‘Rantai’ Myanmar
UltraSukan
FA Malaysia

Skuad futsal Malaysia B-19 bangkit daripada ketinggalan sebelum mengikat Myanmar 3-3 dalam aksi pertama Kumpulan B ASEAN Futsal Cup B-19.

Pengendali Malaysia B-19, Rakhpol Sainetngam melihat kejohanan ini sebagai medan buat anak buahnya menimba pengalaman. Ini disebabkan pasukan ini baru dibentuk dan masih hijau di pentas antarabangsa.

Skuad Myanmar yang lebih berpengalaman memanfaatkan kelebihan tersebut pada separuh masa pertama.

Myanmar membuka tirai jaringan menerusi Kyaw Min Khant seawal minit kelima. Kem Malaysia kemudiannya ceria apabila Iqbal Hazim Radzi menyamakan kedudukan seminit selepas itu.

Hae Mar Htay kembali meletakkan Myanmar di hadapan pada minit ke-10. Kaung Htet Naing memastikan pasukan itu mendahului 3-1 sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-18.

Bersambung pada babak kedua, anak buah Rakhpol terus menggandakan serangan untuk mengurangkan defisit gol.

Faaris Amsyar Marhaidi menjadi pencetus kebangkitan Malaysia B-19 dengan meledakkan gol kedua pada minit ke-30.

Bintang muda Pahang Rangers, Adam Rayyan Nor Hisam meledakkan gol penyamaan tujuh minit sebelum perlawanan tamat.

Selepas ini, skuad negara perlu memburu kemenangan ke atas Indonesia jika mahu layak ke peringkat separuh akhir sebagai juara atau naib juara kumpulan.

Malaysia B-19 akan menentang Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B pada 25 Disember.