Kuching City Samai Rekod JDT
MakanBola
Kuching City FC

Kuching City FC kini menyamai rekod bolos paling sedikit dalam Liga Super bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu lima gol.

Ini berdasarkan statistik carta liga selepas mengharungi 12 dan 11 perlawanan liga. Gawang The Cats hanya dirobek oleh JDT, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC dan Penang FC.

Dua daripada lima gol itu terjadi pada minit akhir separuh masa kedua. Ini berlaku ketika Kuching City menentang Negeri Sembilan dan Terengganu.

Sekiranya gol tersebut tidak berlaku, anak buah Aidil Sharin Sahak berupaya merapatkan jurang dengan JDT menerusi 30 mata. Kutipan mata semasa menyaksikan Kuching City kini memiliki 24 mata.

Carta sama turut menyaksikan The Cats menyumbat 24 gol. Sebahagian daripadanya disumbang oleh penjaring terbanyak pasukan itu, Ronald Ngah Wanja.

Ngah sudah merekodkan 14 gol, lapan daripadanya dalam liga. Ramadhan Saifullah Usman dan Danial Asri mengekori dari belakang dengan masing-masing mencetak lima dan empat gol.

Ngah juga mengintai peluang meraih Kasut Emas Liga Super musim ini, Beliau kini di tangga keempat di belakang penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes yang meraih sembilan gol.

Bergson da Silva dan Jairo da Silva masing-masing berkongsi 12 gol sebagai pendahulu penjaring terbanyak.