Selepas Lawan JDT, Lihat Apa Dah Jadi Pada Brunei DPMM
MakanBola
Johor Southern Tigers

Brunei DPMM mengalami perubahan drastik selepas aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 25 Oktober lalu.

Permulaan kurang cemerlang dipamerkan oleh Brunei DPMM apabila kalah 4 daripada 5 perlawanan awal Liga Super selain satu keputusan seri yang diraih ketika aksi pertama berdepan PDRM.

Malah, Brunei DPMM yang dibimbing oleh Jamie MacAllister turut tersingkir awal dalam saingan Piala FA selepas tumpas di tangan Kuching City di pusingan pertama dengan agregat 9-4.

Kemenangan sulung di pentas Liga Super akhirnya hadir jua selepas 6 perlawanan apabila DPMM cemerlang mengatasi Melaka 1-0 meskipun hanya beraksi dengan 9 orang pemain di Stadium Hang Jebat.

Momentum itu bagaimanapun terhenti pada aksi seterusnya menentang gergasi tanah air, JDT di Stadium Sultan Ibrahim dengan Brunei DPMM terkulai layu dibelasah 10-0 oleh juara bertahan tersebut.

Semenjak itu, prestasi Brunei DPMM mula menjadi perhatian apabila berjaya bangkit untuk mengikat Negeri Sembilan 2-2 di laman sendiri sebelum tewas sekali lagi di tangan Kuching City.

Kekalahan 1-0 tersebut dicemari dengan kontroversi jaringan penyamaan Prosper Boakye yang dibatalkan oleh pengadil di minit-minit akhir dan meranapkan impian Brunei DPMM bagi meraih satu mata.

Siapa menyangka, sejak kekalahan itu, Brunei DPMM mula bangkit melakar 3 kemenangan berturut-turut termasuklah menumpaskan finalis Piala FA, Sabah selain Imigresen dan Penang.

Persembahan menakjubkan itu meletakkan Brunei DPMM kini di kedudukan ke-7, melonjak 5 anak tangga setelah tamatnya pusingan pertama Liga Super dengan mengutip sebanyak 14 mata.

Cabaran seterusnya menanti Brunei DPMM adalah melayani pasukan tercorot Liga Super, PDRM di laman sendiri pada 3 Januari hadapan sebelum berdepan Selangor 7 hari selepas itu.